Sunday, December 6, 2009

Lagi Berita Tentang Sakit Jantung

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Hati/20091118102402/Article/index_html

hmm...kita yang baca berita tu pun boleh sakit jantung...harap adik Nabihah akan cepat sembuh.. InsyaAllah...Pada para pembaca jika ingin menyalurkan sumbangan kepada adik Nabihah, boleh baca bahagian bawah sekali artikel ini. ok

3 lubang pada jantung Nabihah

>>Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

SEMUANYA berlaku tanpa diduga. Sakitnya menyerang tiba-tiba dan setelah segalanya kronik, barulah dia disahkan menghidap masalah jantung berlubang (cardiologis cardiac).

Bukan satu lubang, tetapi didapati tiga bahagian jantungnya bermasalah dan ia bagaikan khabar yang merenggut kebahagiaan gadis berusia 15 tahun ini.

Nabihah Mohd Mustapha merasai sakit hari demi hari sehingga badannya semakin kurus. Penderitaannya semakin menyeksakan dan dia tidak tahu jenis penyakit dihidapinya. Bahkan sewaktu dibawa ke hospital, doktor tidak dapat mengesahkan jenis penyakitnya. Dia hanya diperiksa dan didakwa demam biasa.

Menurut ibunya, Marina Mohd Yusof, 44, ketika membawa anak keempat daripada enam beradik itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah sebulan anaknya demam, barulah dia mendapat gambaran sebenar mengenai penyakit anak gadisnya itu.

"Ketika doktor menyatakan anak saya disahkan menghidap jantung berlubang, saya rasakan dunia ini bagaikan gelap seketika.

"Ketika itu, dua hari lagi hendak menyambut puasa dan Nabihah pula baru saja tinggal dengan saya. Sebelum ini, dia tinggal dengan bekas suami. Lebih mengharukan, apabila tiga bahagian jantungnya didapati berlubang.

"Bayangkan hati ibu mana tidak sedih mengenangkan semua ini. Apabila dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN), kos yang dianggarkan agak tinggi iaitu kira-kira RM50,000.

"Itu belum termasuk kos penanggungan dan rawatan susulan. Saya buntu memikirkan cara terbaik untuk merawatnya memandangkan langsung tiada duit sebanyak itu," kata ibu tunggal itu dengan sayu.

Ketika ditemui di rumahnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Air Jerneh, Setapak, Kuala Lumpur, dia akur bukan mudah menguruskan anak yang sakit sedangkan pada masa sama, terpaksa mengurus anak yang lain dalam keadaan serba kekurangan.

"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pengurus khidmat pelanggan, tetapi apabila anak sakit, saya terpaksa mohon cuti tanpa gaji. Ada kalanya majikan tidak memahami masalah yang saya hadapi. Semua itu kena telan dengan sabar.

"Sejak anak diserang penyakit sehingga kini saya terpaksa mengambil upah menjahit pakaian bahkan akan lakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan pendapatan secara halal.

"Semua ini saya lakukan untuk Nabihah kerana setiap kali ke hospital, kos rawatan melebihi RM300, itu belum termasuk ubat-ubatan dan keperluan lain.

"Oleh kerana tidak mampu berurusan di IJN kerana memerlukan perbelanjaan agak tinggi, saya ke HKL kerana pada anggapan saya mungkin kos rawatannya lebih murah.

"Apabila membawa anak ke HKL, ada masalah lain timbul. Kekurangan peralatan untuk rawatan berkenaan menyebabkan anak saya dirujuk ke Hospital Serdang.

"Berulang-alik ke hospital itu agak jauh manakala menunggu keputusan untuk rawatan susulan memakan masa menyebabkan hati semakin risau mengenangkan nasibnya.

"Cuma menurut doktor, dua daripada jantung yang bermasalah itu menunjukkan tanda semakin pulih kerana lubangnya hampir tertutup. Bagaimanapun, perawatan perlu dilakukan segera biarpun wang tidak mencukupi," katanya.

Menurutnya, bukan senang mengurus enam anak sendirian kerana kos hidup di ibu kota semakin meningkat.

Walaupun sudah berpisah dengan bekas suami lebih 13 tahun lalu, wanita ini mengakui tidak pernah menghalang anak ke rumah bapanya.

"Walau susah sekalipun, saya nekad memberikan yang terbaik kepada anak. Kalau boleh, apa yang orang lain nikmati, saya cuba berikan kepada anak dengan harapan ia akan menghapus perasaan rendah diri atau kesedihan di hati mereka.

"Saya bernasib baik kerana boleh dikatakan pelajaran anak agak bagus. Anak sulung, Nazura, kini belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kejuruteraan awam. Dia sering mendapat keputusan cemerlang, kemungkinan memperoleh biasiswa kerajaan dan tidak perlu membayar balik.

"Begitu juga adik-adiknya yang memperoleh pencapaian akademik agak memberangsangkan. Saya sering tekankan pelajaran harta terbaik yang mampu mengubah nasib mereka.

"Untuk itu, saya tidak berkira soal tuisyen atau apa saja kelas akademik yang mereka ingin ceburi. Saya tidak mahu anak menjadikan itu sebagai halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik," katanya.

Nabihah juga sering mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran begitu kental cuma sejak dia sakit, perhatiannya semakin berkurangan, namun dia tidak pernah mengabaikan kerja sekolah.

Ketika menjalani peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, dia mengambil peperiksaan di hospital, tetapi keinginannya untuk berjaya tetap tersemat di hati terutama dalam soal mengubah nasib keluarganya.

"Saya bercita-cita menjadi saintis berjaya suatu hari nanti, tetapi tidak tahu bagaimana keputusan peperiksaan PMR kelak cuma berharap ia memberi inspirasi kepada saya untuk melaksanakan impian berjaya," katanya.

Sementara itu, simpati dengan nasib pelajar tingkatan tiga ini, Pengerusi Biro Briged Putri Mapim Kebangsaan merangkap Yang Dipertua Mapim Selangor, Datin Ismalina Ismail, menghulurkan sedikit bantuan berupa makanan sempena Aidiladha yang bakal menjelang dengan menjengah ibu tunggal itu di kediamannya, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha berkenaan bagi membantu ibu tunggal berkenaan memandangkan dia perlu menanggung kos agak tinggi untuk rawatan anaknya.

Jika ada pihak yang bersimpati dengan nasib Nabihah, hubungi Marina di talian 017-6802772. Sumbangan wang untuk rawatan jantungnya boleh disalurkan ke akaun Maybank menerusi nombor akaun 164557182367.

No comments:

Post a Comment